fb fb fb fb fb

Perlis siap siaga hadapi fenomena air pasang besar, potensi banjir

Fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di Perlis pertengahan Oktober ini berpotensi memburukkan lagi situasi banjir di negeri itu sekiranya hujan berterusan / Foto RTM

KANGAR, 9 Oktober – Fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku di Perlis pertengahan Oktober ini berpotensi memburukkan lagi situasi banjir di negeri tersebut sekiranya hujan berterusan.

Sehubungan itu, agensi bencana negeri telah digesa untuk bersiap siaga lebih awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Pengerusi Sekretariat Pengurusan Bencana Perlis, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata situasi itu berkemungkinan berlaku sekiranya hujan lebat turun antara 16 hingga 19 Oktober depan.

Katanya, dengan ketinggian ombak yang dijangka mencecah sehingga 3.7 meter, fenomena air pasang besar tersebut akan menyebabkan banjir yang lebih buruk di negeri tersebut.

“Kita telah meminta semua agensi untuk lebih bersedia dan tidak menunggu sehingga air sudah pasang untuk bertindak. Kami perlu bergerak sebelum air pasang itu tiba. Kami dapat maklumat dan data bahawa kemungkinan air pasang akan berlaku pada 16 dan 17 Oktober sekitar pukul 1 pagi. Jika kita tunggu sehingga saat itu, kerosakan mungkin sudah berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mesyuarat khas Pengurusan Bencana Negeri Perlis, di sini.

Sekretariat Pengurusan Bencana negeri memiliki kekuatan seramai 1,200 anggota untuk bantuan langsung, terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Selain itu, terdapat lebih 6,000 anggota dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan lain yang terlibat seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan Jabatan Pendidikan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN