fb fb fb fb fb

Perlis lakukan solat sunat Aidiladha di tanah lapang

Foto hiasan

ARAU, 4 Jun- Solat Sunat Aidiladha akan dilaksanakan di kawasan tanah lapang sepertimana Solat Sunat Aidilfitri lalu melibatkan semua 101 buah masjid seluruh Perlis.

Pelaksanaan Solat Sunat Aidiladha di negeri itu diselaraskan bermula pada pukul 7.45 pagi hingga pukul 8.15 pagi.

Pemilihan tanah lapang berkenaan mengikut ketetapan Jawatankuasa Kariah Masjid selaras dengan sunnah Rasulullah SAW.

Titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, jawatankuasa kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang dan bilangan jemaah yang hadir.

Bagaimanapun sekiranya cuaca tidak sesuai, solat Sunat Aidiladha akan dilaksanakan dalam ruang masjid kariah masing-masing pada pukul 8.15 pagi.

Bagi pelaksanaan Solat Aidiladha di Kariah Kota Raja Arau, solat akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau pada pukul 8.00 pagi dan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan, ia akan didirikan di ruang Solat Masjid Negeri Arau.

Pengurusan Masjid dinasihatkan melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan Solat Aidiladha dengan merujuk panduan yang telah dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Perlis.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI