
KRABI, 24 Januari – Perlis terus mengorak langkah strategik dalam usaha menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara dengan menjadikan negeri itu sebagai destinasi pelancongan makanan bajet yang unik dan berkualiti.
- Perlis dipromosikan sebagai destinasi pelancongan makanan bajet menarik bagi pelancong Thailand dan domestik.
- Resipi tradisional Melayu Utara kekal autentik dengan penggunaan rempah ratus tempatan.
- Piawaian pensijilan halal Malaysia memberi keyakinan keselamatan dan keselesaan kepada pelancong Muslim.
- Masakan sempadan gabungan elemen Thai dan citarasa tempatan mencipta identiti rasa unik Perlis.
Strategi penawaran harga rendah bagi hidangan tempatan dilihat mampu menarik pelancong dari Thailand serta pelancong domestik untuk menjadikan Perlis sebagai persinggahan utama sebelum atau selepas menyeberangi sempadan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, meskipun menerima pengaruh masakan negara jiran, Perlis kekal mengekalkan keaslian resipi tradisional Melayu Utara yang kaya dengan penggunaan rempah ratus tempatan.
Hidangan seperti Gulai Batang Pisang serta pelbagai masakan berasaskan ikan darat menawarkan pengalaman rasa autentik yang jarang ditemui di restoran-restoran di selatan Thailand.
Selain itu, pelancong Muslim khususnya berasa lebih selamat dan selesa menikmati hidangan di Perlis berikutan piawaian pensijilan halal Malaysia yang ketat dan menyeluruh, merangkumi keseluruhan rantaian bekalan makanan.
Perlis turut berjaya mengadunkan elemen masakan Thai dengan cita rasa tempatan secara kreatif, sekali gus mewujudkan satu identiti masakan sempadan yang unik, menawarkan keseimbangan rasa pedas, masam dan berlemak sesuai dengan selera rakyat Malaysia.
Baginda seterusnya berkenan melancarkan Promosi Masakan Perlis di Grand Mercure Krabi Ao Nang, lokasi ketiga pelancaran promosi berkenaan selepas Sanae Pu Restaurant Kantang dan Krabi Resort Hotel.