
KUALA LUMPUR, 11 April – Peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai pemacu pembentukan generasi masa depan perlu terus diperkukuh seiring cabaran pendidikan yang semakin kompleks ketika ini.
- Pendidikan kini merangkumi sahsiah, kemahiran berfikir dan keseimbangan emosi serta sosial, bukan sekadar pencapaian akademik.
- Bekerjasama membangunkan anak berilmu, bersukan, berkesenian dan berimbang dari segi agama, sahsiah, ilmu serta penampilan.
- Pendekatan menyeluruh diperlukan dengan penglibatan aktif ibu bapa, guru dan komuniti dalam pembentukan generasi masa hadapan.
- Penggunaan teknologi perlu dipantau bagi mengekalkan fokus pelajar dan mengelakkan ketagihan gajet.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pendidikan masa kini tidak lagi tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya merangkumi pembangunan sahsiah, kemahiran berfikir serta keseimbangan emosi dan sosial murid.
“Apa yang patut kita buat adalah sama-sama membangunkan anak-anak yang diamanahkan kepada kita.
“Kita mahu mereka berilmu, bersukan dan berkesenian, tetapi yang paling penting ialah membina insan yang seimbang dari segi agama, sahsiah, ilmu dan penampilan,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Razak 1, di sini.
Menurut beliau, usaha membangunkan generasi masa hadapan memerlukan pendekatan menyeluruh dengan penglibatan aktif semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan komuniti.
Tambahnya, kerjasama erat antara ibu bapa dan pihak sekolah amat penting dalam membentuk sahsiah murid selain mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan penggunaan teknologi dalam pendidikan perlu dipantau agar tidak menjejaskan fokus pelajar serta mengelakkan ketagihan gajet.
Datuk Seri Dr. Wan Azizah turut memuji pencapaian sekolah berkenaan dalam bidang akademik dan sukan, yang menurutnya hasil kerjasama kukuh antara pihak sekolah, PIBG serta ibu bapa.