fb fb fb fb fb

Perkukuh penggunaan teknologi, bendung penyeludupan di sempadan negara

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Mac- Memperkukuh penggunaan teknologi terkini berteraskan kecerdasan buatan dan analitik data merupakan antara usaha membendung penyeludupan manusia dan dadah di sempadan negara.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, kementeriannya dalam rancangan pembangunan Sistem Kawalan Sempadan Negara (SKSN).

"Pembangunan sistem SKSN yang dicadangkan ini akan dilengkapi dengan sistem pengawasan terkini berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan analitik data bagi membolehkan operasi dilaksanakan tanpa pengawasan, penyebaran maklumat secara pantas dengan masa sebenar dan pengawasan sepanjang masa secara berterusan dalam melindungi sempadan darat dan maritim Malaysia", katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan, sejak tahun 2022 hingga Februari lepas, sebanyak 1,181 kes berkaitan Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran telah direkodkan. Turut dikesan sebanyak 1,216 kes melibatkan dadah dan racun.

ESSCOM juga telah melakukan lebih 7.7 juta pemeriksaan sejak tahun 2020, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM89.81 juta.

Tambahnya, kerajaan juga memperuntukkan RM753 juta bawah Rolling Plan Ke-5, Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) untuk menambah pos kawalan, membeli kapal dan bot serta aset taktikal bagi meningkatkan penguatkuasaan di sempadan.

Dalam aspek teknologi, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dan Border Surveillance System (BSS) sedang digunakan untuk memantau kawasan sempadan, selain perolehan dron berteknologi tinggi dan Mobile Surveillance Thermal Radar untuk meningkatkan kecekapan operasi.

Di peringkat serantau pula, kerajaan memperkukuh perkongsian risikan dan hubungan dua hala dengan negara jiran menerusi mesyuarat bilateral bagi menangani ancaman penyeludupan di sempadan.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh di Dewan Negara.

ROSLINA BINTI DIN