KUALA PILAH, 14 Januari - Kestabilan moral dan keharmonian sosial mengikut nilai-nilai agama perlu terus diperkukuh bagi menjamin kesejahteraan rakyat di Negeri Sembilan.
Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Alamarhum Tuanku Munawir bertitah elemen negatif yang boleh mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian perlu ditolak semua masyarakat.
Malah mereka malah berusaha untuk mengenali dan memahami adat serta budaya berbilang kaum di Malaysia.
"Oleh itu, Beta menyeru kepada semua rakyat untuk mempertingkatkan tali persahabatan dan percampuran di kalangan masyarakat majmuk melalui pelbagai aktiviti seperti gotong-royong, sukan dan kunjungan rumah terbuka. Ia akan memastikan semangat kebersamaan antara kita sentiasa teguh dan seterusnya mengekalkan perpaduan dan keharmonian," titah baginda dalam Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraanke -76 Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti.
Baginda turut bertitah, kurniaan yang telah diberi perlu sentiasa dipelihara kerana ia mencerminkan martabat dan kehormatan institusi Diraja Negeri Sembilan.
Bersempena Hari Keputeraan Baginda Tuanku kali ini, seramai 473 penerima mendapat perkenan baginda untuk dikurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat-pingat Negeri Sembilan menerusi tiga sesi yang akan diadakan.
Seramai 111 penerima Pengurniaan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat pada hari pertama.