HULU SELANGOR, 9 Mei- Satu rangka kerja perkongsian rangkaian dan infrastruktur penyedia perkhidmatan telekomunikasi diwujudkan.
Inisiatif diwujudkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) itu, bakal memberi liputan menyeluruh kepada pengguna seluruh negara.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kewujudkan rangka kerja tersebut membuktikan komitmen enam pengendali rangkaian mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, Telekom Malaysia dan YTL Communications.
"Ini adalah cara yang mungkin tidak pernah dibuat di negara-negara lain, satu perjanjian komersial antara syarikat-syarikat telco, tapi dikendalikan oleh badan kawal selia MCMC.
"Kita harap ia dapat mula menyelesaikan sejumlah masalah yang dihadapi para pengguna perkhidmatan telekomunikasi", katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pra pelancaran Rangka Kerja Perkongsian Rangkaian dan Infrastruktur di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Kubu Baharu.
Sepanjang tempoh 6 hingga 12 bulan ini juga, pihak pengendali rangkaian ini akan menguji model pelaksanaan di dalam rangka kerja pada rangkaian dan menara sebenar di lima lokasi yang telah dikenal pasti.
Penambahbaikan tersebut adalah penting bagi memastikan rangka kerja tersebut telah mengambil kira kesemua aspek bagi perkongsian antara rangkaian dan memastikan rangka kerja ini dapat digunakan dengan jayanya.
Dalam pada itu, pengguna aplikasi WhatsApp bakal menerima ciri terbaharu 'Chatbot' secara lengkap menjelang hujung bulan ini.
Fahmi berkata perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia dan Meta Platforms Inc (Meta) sedang dilaksanakan.
"Harapan saya nanti semua yang menerima WhatsApp yang tidak dapat kita sahkan daripada kumpulan-kumpulan surau taman, alumni sekolah, kalau kita tidak dapat nak sahkan, kita boleh forward kepada Chatbot dalam WhatsApp ini dan kita akan dapat pengesahan di situ", katanya.
'Chatbot' digunakan bagi memeriksa kesahihan setiap kenyataan yang diterima menerusi aplikasi 'Whatsapp'.
Ia akan dikendalikan JomChat melibatkan BERNAMA dan beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan menyatakan jentera Pakatan Harapan memberi komitmen baik sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu.
Ia sekali gus menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya jentera parti Parti Keadilan Rakyat (PKR) kurang membantu kempen pilihan raya itu.
"Menteri Besar Selangor antara yang paling kerap turun, paling kerap berada di sini. Saya difahamkan mesyuarat kerajaan negeri akan diadakan di Kuala Kubu Baharu. Jadi dakwaan itu adalah jauh sekali daripada realiti", katanya.