SANDAKAN, 26 April- Syarikat telekomunikasi yang terlibat diarah mengambil tindakan segera terhadap penambah baikan perkhidmatan di kawasan pelancongan Sepilok.
Usaha itu selari dengan persediaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini, ujian liputan berada di tahap memuaskan khasnya lokasi tumpuan utama pengunjung di Pusat Pemuliharaan Orang Utan dan Rainforest Discovery Centre (RDC), Sepilok.
Namun, terdapat beberapa lokasi lain yang mempunyai liputan lemah seperti lokasi kaunter penerimaan dan klinik veterinar di Pusat Pemuliharaan Orang Utan dan Lakeside Pavilion di Rainforest Discovery Centre.
"Saya juga telah minta supaya beberapa lokasi di sekitar sini diberikan penelitian khusus untuk kita tingkatkan kemudahan Wi-fi awam.
"Ini kerana kita dapati para pengunjung berhasrat untuk berkongsi kandungan di media sosial mengenai tawaran atau suasana di sini. Selain memastikan liputan mudah alih yang baik, kita juga akan meneliti keperluan menyediakan kemudahan WiFi," kata Datuk Fahmi kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang selepas menjalankan sesi pengujian kualiti liputan komunikasi di kawasan pelancongan Sepilok, Sandakan.
Program itu melibatkan penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL dan TM Tech.
Turut diadakan sesi libat urus bagi mengenal pasti kerjasama antara pusat pelancongan utama di bawah kelolaan kerajaan negeri Sabah dengan Kementerian Komunikasi dalam usaha menjadikan industri pelancongan berkembang pesat dengan bantuan capaian komunikasi dan Internet yang lebih baik.
Dalam perkembangan berkaitan, Datuk Fahmi turut memaklumkan beberapa perkara yang sedang dilaksana di bawah program Jendela Fasa 1 berkemungkinan akan dibawah ke Jendela Fasa 2.
Katanya, ia akan mengambil kira isu-isu yang dihadapi seperti isu tanah dan bekalan kuasa yang akan dimasukkan dalam perancangan fasa ke-2.
Dalam perkembangan lain, 1,257 sesi pengujian standard mandatori kualiti perkhidmatan (MSQoS) jalur lebar tanpa wayar, dilaksana di seluruh negara.
Ini termasuk 196 lokasi di Sabah, dalam suku pertama 2025.
Jelas Datuk Fahmi, 135 notis telah dikeluarkan tahun ini manakala 46 penalti berjumlah RM6.55 juta dikenakan sepanjang 2023 dan 2024 kerana ketidakpatuhan MSQoS.