KAJANG, 23 September -Perkhidmatan Kenderaan Rekreasi (RV) dibenarkan untuk dilesenkan dan dikawal selia bagi kegunaan komersial, berkuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, langkah itu diambil bagi menyokong minat yang semakin meningkat terhadap segmen pelancongan berasaskan kenderaan rekreasi yang semakin mendapat tempat di Malaysia.
Beliau berkata, dasar baharu itu membenarkan penggunaan RV sebagai Kenderaan Sewa Pelancong Pandu Sendiri (KSPP) di Semenanjung dan Kereta Sewa Pandu (KSP) di Sabah, Sarawak dan Labuan.
"Pelaksanaan akan dihadkan kepada kenderaan baharu sahaja, sama ada unit pemasangan tempatan (CKD) atau diimport sepenuhnya (CBU), berkuat kuasa 1 Januari 2026," katanya pada sidang media majlis pecah tanah pembinaan pejabat baharu JPJ Cawangan Kajang, di sini.
Menurut Loke, RV persendirian yang didaftarkan sebelum 31 Disember 2025, yang ingin dikomersialkan, dengan syarat kenderaan tersebut tidak melebihi 15 tahun dan lulus pemeriksaan teknikal yang akan ditetapkan oleh JPJ.
Katanya, MOT dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengkaji kebolehlaksanaan bagi cadangan permohonan pelesenan RV bagi tujuan KSPP Semenanjung/KSP Sabah, Sarawak dan Labuan dilaksanakan secara 'single window'.
"Mana-mana RV baharu yang ingin disewakan hanya perlu mendapatkan satu permit daripada MOTAC untuk aktiviti pelancongan, memandangkan perkara ini di luar bidang kuasa MOT," katanya.
Mengulas lanjut, Loke berkata, RV adalah kenderaan bermotor termasuk semi-treler dan treler yang direka khas dengan dua fungsi utama iaitu pengangkutan dan penginapan sementara.
Katanya, kenderaan itu dilengkapi pelbagai kemudahan asas penginapan seperti ruang tidur, dapur mini, ruang makan dan bilik air bagi tujuan keselesaan kepada pengguna.
"Berdasarkan rekod sehingga 22 Ogos lalu, sebanyak 1,405 RV didaftarkan dan dilesenkan bagi kegunaan persendirian individu di negara ini. Sebahagian besar RV berdaftar bersaiz kecil dan sederhana yang dikelaskan di bawah kategori karavan atau camper van," katanya lagi.