KUALA LUMPUR, 28 Julai - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyokong langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mewajibkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Beliau berkata, langkah itu boleh menangani peningkatan kes jenayah siber termasuk penggunaan akaun palsu dalam media sosial, termasuk menabur persepsi negatif terhadap kerajaan.
"Banyak negara-negara yang tidak menggunakan saluran media yang ada sekarang. China umpamanya tidak ada saluran media yang sama semua dengan kita. Mereka ada cara sendiri untuk mengawal. Singapura juga mendaftarkann, banyak negara lain mendaftar supaya setiap netizen itu bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis. Bukan lempar sembunyi tangan itu pengecut," kata Ahmad Zahid.
Semalam MCMC dalam kenyataan memaklumkan, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini, perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Langkah itu akan berkuat kuasa 1 Jan 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet diperkenal bermula 1 Ogos.