KUALA LUMPUR, 16 APRIL 202- Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan kembali beroperasi secara normal mulai pukul 6.00 pagi Rabu (17 April) susulan gangguan bekalan kuasa.
Rapid KL menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan jadual perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya akan beroperasi dengan kekerapan tren tiga minit pada waktu puncak dan tujuh minit bagi waktu luar puncak.
"Namun, beberapa fasiliti seperti eskalator dan lif di stesen LRT Kelana Jaya, Taman Bahagia dan Asia Jaya masih lagi belum berfungsi. Kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan.
"Bagi penumpang-penumpang yang memerlukan bantuan khusus, sila berhubung dengan petugas-petugas stesen dan anggota Polis Bantuan," katanya.
Bagaimanapun pihak Rapid Rail memohon maaf kepada penumpang atas kelewatan dan kesulitan yang dialami.
Pengguna boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di talian 03-7885 2585 atau berhubung menerusi platform media sosial Rapid KL bagi sebarang pertanyaan.