KUALA LUMPUR, 31 Disember- Perkhidmatan Klinik Bergerak Waqaf An-Nur kini telah mempergiatkan usaha dan meluaskan sayapnya dengan sembilan klinik bergerak di seluruh Malaysia termasuk Sabah.
Pegawai Perubatan Hospital Pakar KPJ Kajang dan Perkhidmatan Klinik Bergerak Waqaf An-Nur, Dr. Mohd Iqbal Mohd Arba berkata ia bukan sahaja memberi bantuan daripada segi perubatan dan rawatan, malah memberi bantuan daripada segi makanan, aktiviti gotong royong dan lain-lain lagi.
Jelasnya, ia mempunyai 11 klinik statik, sembilan pusat dialisis serta sembilan klinik bergerak.
"Klinik ini fokus utamanya adalah memberikan akses kesihatan kepada mereka yang terlibat bukan sahaja untuk penduduk terjejas banjir, untuk memberikan akses kesihatan untuk mereka yang memerlukan terutamanya di kawasan pedalaman dan dalam konteks banjir ini sudah semestinya kami di klinik ini terus turung padang dan akan memberikan khidmat kesihatan secara percuma kepada mereka yang terkesan dengan fenomena banjir ini," kata Mohd Iqbal menerusi rancangan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini.
Tambah Mohd Iqbal, orang ramai dinasihat untuk tidak bermain banjir kerana ia dikhuatiri dijangkiti penyakit berjangkit dan lain-lain lagi.