KUALA LUMPUR, 9 Februari- Ketegasan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain untuk terus memperketat kawalan keselamatan di pusat beli-belah dan lokasi tumpuan umum adalah langkah tepat dalam memperkasa keselamatan awam.
Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berpandangan kawalan berkenaan dapat mencegah insiden jenayah sekali gus memastikan kawasan tumpuan ramai lebih selamat dan terkawal.
"Arahan Ketua Polis Negara untuk meningkatkan keselamatan di tempat awam amat baik. Kejadian yang berlaku ini perlu dilihat dengan lebih serius, dan jangan ambil mudah.
"Saya nak cadangkan di tempat tempat awam terutama di stesen tren, lapangan terbang dibekalkan dengan kamera (CCTV) berkualiti tinggi agar boleh merakam imej dengan jelas.
"Kita sebagai rakyat juga boleh menyumbang dan membantu apa yang diperlukan kerana keselamatan negara bukan sahaja terletak di tangan penguatkuasa, tetapi kita juga perlu memainkan peranan untuk memastikan jenayah seperti ini tidak berlaku," katanya ketika dihubungi RTM.
Selain itu, penambahan jumlah anggota polis dan pengawal keselamatan di kawasan tumpuan umum juga perlu diberi perhatian dan dilaksanakan.
Komitmen bersepadu daripada semua pihak diperlukan dalam membanteras jenayah serta memastikan imej keselamatan negara terjamin.