SEREMBAN, 29 Februari - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Sembilan mengeluarkan sebanyak 22 kompaun dengan nilai RM26,500 menerusi satu operasi bersepadu yang dijalankan, di sini.
Menurut Pengarahnya Nur Muhammad Bakthir Mohamad Akhir, kesemua 22 kompaun yang dikeluarkan adalah membabitkan kesalahan bawah Seksyen 5, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.
"Apa sahaja dengan yang mereka bekerja dengan majikan tersebut secara separuh masa ataupun sepenuh masa. Gaji bulanan gaji harian dan sebagainya. Apa saja kaedah bayaran gaji kita tak kisah janji ia merupakan terlibat sebagai seorang pekerja bawah kontrak perkhidmatan.
"Dan bawah kontrak perkhidmatan ini seharusnyalah maknanya ada majikan ada pekerja, jadi mereka seharusnya mendaftarkan dengan PERKESO," kata Muhammad Bakthir kepada pemberita selepas selesai melakukan pemeriksaan di premis-premis berkenaan ketika operasi bersepadu yang dilaksanakan, di sini.
Tambahnya, alasan baru mula pekerjaan antara alasan yang diberi oleh majikan selepas didapati tidak mencarum PERKESO untuk pekerjanya.
Turut hadir dalam operasi tersebut ialah Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S.Veerapan uang menyarankan majikan agar memastikan kesejahteraan pekerja terjamin dengan membuat caruman PERKESO.
"Kita hendak pastikan semua pekerja-pekerja ini dilindungi dengan PERKESO. Kalau kita lihat PERKESO ini akan memantau semasa mereka, pendapatan mereka terjejas. Jadi kita galakkan majikan-majikan untuk mendaftarkan PERKESO untuk pekerja mereka dan supaya mereka dapat keadilan sosial yang terbaiklah," kata S.Veerapan.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) turut bersama-sama dalam operasi tersebut telah mengeluarkan tiga kompaun sebanyak RM10,500.