fb fb fb fb fb

PERKESO, KESUMA diberi tempoh sebulan kemuka modul latihan peningkatan kemahiran baharu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Karnival Kerjaya Kementerian Sumber Manusia MADANI MyFutureJobs OKU dan TVET serta Pelancaran Inisiatif Skim Sokongan Pekerjaan 2024 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di Shah Alam / Foto Bernama

SHAH ALAM, 1 Mac - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) diberi tempoh sebulan untuk menyediakan modul latihan peningkatan kemahiran yang baharu bagi melahirkan pekerja lebih berkompetensi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peningkatan kemahiran membolehkan negara bersaing dalam pasaran pekerjaan yang lebih sofistikated khususnya bidang yang mempunyai permintaan tinggi oleh pemain industri.

"Orang yanbg memikir dan mengurus mengikut kaedah lama, akan ketinggalan. Kita mahu Malaysia ini hebat, Malaysia ini terangkat, kita mahu Malaysia ini maju dan mendapat bersaing dengan semua negara-negara maju, kita tidak boleh capai kalau kita guna kaedah lama.

"Saya mahu PERKESO dan KESUMA mendepani persoalan ini. Ada kebebasan dan ruang, modul latihan peningkatan yang luar daripada sistem pendidikan yang kita biasa dan kenal," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kerjaya Kementerian Sumber Manusia MADANI MyFutureJobs OKU dan TVET serta Pelancaran Inisiatif Skim Sokongan Pekerjaan 2024, di sini.

Tambah Anwar, selepas tempoh sebulan, cadangan itu harus dibawa oleh menteri sumber manusia ke Mesyuarat Kabinet untuk diteliti Jemaah Menteri sebelum keputusan lanjut dibuat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN