fb fb fb fb fb

PERKESO buat pembayaran faedah kepada pemandu e-hailing cedera kejadian pokok tumbang

Foto Facebook Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR, 8 Mei - Pemandu e-hailing yang cedera dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail di sini semalam menerima bayaran faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa yang menziarahi Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli berkata, bayaran itu disampaikan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong yang turut serta melawat mangsa.

"Abdul Hayyi adalah seorang pemandu perkhidmatan e-hailing dan pencarum kepada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO.

"Saya juga menyampaikan sumbangan wang tunai peribadi kepada beliau. Semoga dengan sumbangan ini serba sedikit dapat mengurangkan beban beliau dan keluarga," menurutnya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam kejadian kira-kira 2.00 petang semalam, seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas sebatang pokok tumbang menghempap 17 kenderaan dan landasan Monorel akibat hujan lebat serta angin kuat di Jalan Sultan Ismail.

TETITIA YUSOFF