fb fb fb fb fb

Perkenal bantuan mikro rendah perkasa peniaga bazar Ramadan

Foto hiasan/Arkib Bernama

SERDANG, 11 Mac -Kerajaan disaran mengambil pendekatan lebih strategik untuk membantu peniaga bazar Ramadan dengan memperkenalkan bantuan atau pinjaman mikro rendah.

Menurut Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia, Dr. Taha Mohd Omar, hakikatnya bazar Ramadan bukan sahaja menghidupkan ekonomi tempatan tetapi juga menyumbang lebih RM2 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2023.

“Orang ramai cenderung berbelanja lebih di bazar Ramadan kerana ia sudah menjadi tradisi. Faktor nostalgia, budaya ‘food hunting’, serta keunikan juadah yang hanya muncul setahun sekali menjadi tarikan utama,” katanya.

Selain bantuan dana atau pinjaman mikro rendah, Dr. Taha juga menyarankan kemudahan asas lain seperti kanopi, bekalan air bersih, elektrik, serta sistem saliran yang baik perlu diperbaiki supaya operasi lebih lancar dan selesa untuk semua.

Beliau turut menekankan pentingnya latihan dalam pengurusan kewangan, pemasaran digital, dan kebersihan makanan agar peniaga dapat bersaing dengan lebih sihat.

Dr. Taha berkata, untuk memastikan bazar Ramadan kekal relevan dan menguntungkan, peniaga harus bijak mengatur strategi.

“Harga juadah perlu kompetitif dan sepadan dengan kualiti. Kos bahan mentah boleh dikurangkan dengan mendapatkan stok pada harga borong, selain meneroka pendekatan menu inovatif yang boleh menarik lebih ramai pelanggan,” katanya.

Beliau juga mencadangkan agar bazar Ramadan lebih daripada sekadar pusat jualan makanan.

“Kita boleh menambah tarikan seperti program seni budaya, ceramah santai, serta aktiviti interaktif bagi memeriahkan suasana dan menarik lebih ramai pengunjung,” katanya.

Memandangkan bazar Ramadan sudah menjadi satu ikon dalam kalendar tahunan, Dr. Taha berpendapat ia wajar dipromosikan sebagai tarikan pelancongan.

“Dengan pengurusan sistematik dan program interaktif yang menggabungkan elemen tradisional dan moden, bazar Ramadan boleh dijadikan destinasi wajib dalam industri pelancongan Malaysia,” katanya.

Selain itu, penggunaan transaksi tanpa tunai juga boleh digalakkan untuk melancarkan urusan jual beli dan meningkatkan keselamatan kewangan peniaga serta pelanggan.

“Kualiti makanan dan kebersihan perlu diberi keutamaan kerana ia adalah faktor utama yang boleh menarik dan mengekalkan pelanggan tetap,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof. Madya Dr. Zainal Madon, berkata bazar Ramadan bukan sekadar platform jual beli tetapi juga mencerminkan budaya masyarakat Malaysia yang mengutamakan kebersamaan dan sokongan ekonomi tempatan.

“Bazar Ramadan adalah ruang untuk usahawan kecil menjana pendapatan dan tempat di mana komuniti dapat berkumpul. Ini bukan sekadar memenuhi keperluan perut, tetapi satu bentuk hiburan dan interaksi sosial yang mengeratkan hubungan antara jiran, rakan, dan ahli keluarga,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa budaya bazar Ramadan mencerminkan sifat collectivism, iaitu masyarakat yang hidup dalam kelompok saling menyokong.

“Kita sering melihat ramai yang membeli makanan bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga untuk keluarga, jiran, malah untuk disedekahkan. Ini mencerminkan semangat tolong-menolong yang begitu sinonim dengan masyarakat kita,” katanya.

MAT YUNUS BIN SABRI