Perkembangan AI tingkat manfaat, namun undang kebimbangan keselamatan siber

KETUA JABATAN LIBAT URUS KOMUNITI MCMC, SAIDATUL ASHIKIN ABU HASSAN

KUALA LUMPUR, 3 Februari – Perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dilihat membawa pelbagai manfaat kepada masyarakat, namun pada masa sama turut mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan internet, khususnya melibatkan kanak-kanak dan wanita.

RINGKASAN BERITA AI
  • AI membawa banyak manfaat sosial namun menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan siber, terutama golongan rentan.
  • Penyalahgunaan teknologi termasuk manipulasi imej, video dan kandungan lucah memerlukan tindakan penurunan kandungan berterusan.
  • MCMC bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan dan masyarakat untuk tingkatkan kesedaran digital serta melindungi kanak-kanak dan wanita.

Ketua Jabatan Libat Urus Komuniti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Saidatul Ashikin Abu Hassan berkata, antara isu yang semakin membimbangkan ketika ini ialah penyalahgunaan teknologi digital, termasuk manipulasi imej dan video yang memberi kesan serius terhadap keselamatan siber.

Menurut beliau, peningkatan kandungan berunsur lucah, palsu dan menyalahi undang-undang di platform digital memerlukan tindakan berterusan serta kerjasama pelbagai pihak bagi memastikan ruang siber kekal selamat.

“Jika merujuk kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, ia melibatkan pelbagai kesalahan seperti kandungan jelek, lucah, sumbang dan palsu. Setiap bulan dan setiap tahun, MCMC telah mengambil banyak tindakan penurunan kandungan berunsur sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri.

Saidatul Ashikin turut memaklumkan, MCMC juga bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa lain bagi memastikan keselamatan pengguna internet, termasuk membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Kami turut membantu penguatkuasaan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (SOAC), termasuk bekerjasama dengan pihak polis dalam beberapa operasi seperti Op Pedo. Melalui operasi ini, ramai individu telah ditahan dan sejumlah besar bahan berkaitan keganasan seksual terhadap kanak-kanak berjaya dirampas,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik dan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran digital serta melindungi golongan rentan daripada ancaman jenayah siber.

Dalam perkembangan sama, Saidatul Ashikin turut mengajak orang ramai memeriahkan sambutan Hari Keselamatan Internet 2026 yang akan berlangsung pada 8 Februari ini di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Bertemakan “Teknologi Pintar, Pilihan Selamat”, sambutan tersebut menekankan kepentingan membuat pilihan digital secara bijak dalam memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan, selari usaha mewujudkan persekitaran siber yang lebih selamat untuk semua.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan