fb fb fb fb fb

Perkasakan masjid sebagai pusat kesatuan umat Islam

(FOTO RTM)

BESERI, 12 Mei- 101 buah masjid yang terdapat di seluruh Perlis perlu terus diperkasakan khususnya menerusi pelbagai aktiviti pengimarahan dalam membangunkan ummah.

Masjid memainkan peranan sangat penting sebagai entiti penyatuan umat.

Jawatankuasa kariah dan pegawai masjid perlu komited dengan tugasan serta tanggungjawab yang diamanahkan, dan berusaha menyelesaikan masalah yang dibangkitkan kariah masjid.

Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah,
jawatankuasa kariah dan agensi agama hedaklah memastikan majlis-majlis ilmu diatur dan diseimbangkan pengisiannya mencakupi bidang-bidang penting dalam agama termasuklah pengetahuan am.

Titah baginda lagi, bagi memastikan keseragaman dan penyelarasan yang teratur khususnya berhubung pengimarahan masjid dan surau, semua pihak hendaklah mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak agensi agama negeri.

"Mematuhi pemimpin adalah suatu tuntutan dalam agama Islam, apatah lagi ia selari dengan suruhan agama dan kemaslahatan ummah demi kebaikan bersama dan demi melestarikan keharmonian dalam kalangan komuniti dan anak kariah", titah baginda ketika merasmikan Masjid Al-Amin, Sempering di sini.

Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan Jawatankuasa Masjid untuk sentiasa memastikan setiap penceramah, pengkuliah dan tenaga-tenaga pengajar adalah pemegang tauliah di Perlis.

Ini bagi memastikan kualiti dan mutu pengisian di masjid dan surau di negeri ini kekal berada pada standardnya yang tersendiri serta jauh daripada anasir-anasir luar yang cuba untuk menyemai bibit-bibit perpecahan dalam kalangan masyarakat.


(Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail/FOTO RTM)

Media Baharu