fb fb fb fb fb

Perkasa bidang kejuruteraan TVET, tarik pelabur berteknologi tinggi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi dialog Malaysia MADANI pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 25 Februari - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diseru untuk memperkasakan bidang kejuruteraan dalam Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana ia tidak hanya menarik pelabur malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda. 

“Kita dapati berdasarkan pelabur besar seperti Google dan (Kumpulan Zhejiang) Geely (Holding) mengatakan mereka senang dengan lulusan TVET serta jurutera kita tetapi mereka merasakan ada sedikit kekurangan di peringkat tertinggi dalam bidang IT dan kejuruteraan, maknanya program latihan kita mesti diubah suai,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi dialog Malaysia MADANI pada Program MADANI Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor, di sini.

Anwar menyifatkan kepakaran kemahiran anak muda keluaran TVET mampu menarik minat dan keyakinan pelabur dalam industri berteknologi tinggi untuk melabur di negara ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN