IPOH, 9 April- Perkampungan Riadah dan Budaya Qing Xin Ling ditutup sementara sehingga laporan penuh berhubung kejadian itu disiapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai Wong Chai Yi berkata perkara itu, penting bagi memastikan kejadian tersebut tidak berulang kembali, khususnya kepada para pelancong.
Wong berkata beliau dimaklumkan bahawa laporan mitigasi sedang dilakukan oleh pihak perunding profesional yang dilantik, demi memastikan tahap keselamatan di kawasan itu diperketatkan.
" Ini salah satu kes yang sangat sedih. Kita tahu ini kena ada laporan geoteknikal yang agak profesional supaya kita tahu macam mana batu tersebut jatuh, apakah mitigasi yang terbaik dan berkesan supaya tidak berlaku lagi di tempat pelancongan sebegini," katanya ketika melakukan tinjauan di lokasi insiden itu pagi tadi.
Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam kenyataan mengesahkan seorang warga tempatan berusia 44 tahun, maut akibat ditimpa batu di kawasan perkampungan itu dalam kejadian yang berlaku sekitar 11.30 pagi.
Wong berkata hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa yang berasal dari Pulau Pangkor itu, sedang membawa rakannya warga Vietnam ke tempat pelancongan tersebut.
Beliau berkata pihaknya turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa, selain berharap mereka tabah dalam menghadapi dugaan yang berlaku.
Dalam pada itu, pengusaha kawasan rekreasi tersebut Cheng Swee Kiat berkata pihaknya, bersedia membantu ahli keluarga mangsa mendapatkan pampasan melalui Insurans Tanggungan Awam.
Beliau berkata kejadian itu yang pertama kalinya berlaku di kawasan pelancongan tersebut, sejak lebih dua tahun dibuka dengan kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
“Saya mohon maaf di atas perkara tidak diingini yang berlaku dan kita berjanji akan bantu beri pampasan keluarga mangsa melalui perlindungan insurans yang disediakan oleh pihak kami,” katanya.