fb fb fb fb fb

Perjawatan tetap APM diumum dalam masa terdekat

Kerajaan bakal mengumumkan berita gembira buat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam masa terdekat/Foto Facebook Zahid Hamidi

KAJANG, 5 Mac - Kerajaan akan mengumumkan perjawatan tetap di bawah Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam masa terdekat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata beliau telah mengemukakan permohonan berkenaan secara rasmi kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Saya meminta penjawatan tetap diwujudkan dalam APM dan sudah membuat permohonan itu secara rasmi kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

"Kita ketahui yang keputusannya sangat positif dan akan ada pengumuman dalam masa terdekat," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Bulan Pertahanan Awam sempena Hari Pertahanan Awam Sedunia serta Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) ke 72, di sini, hari ini.

Katanya, selepas lebih tujuh dekad ditubuhkan APM sudah tiba masanya pasukan itu diberikan penghargaan yang terbukti berkebolehan menyelamat dalam situasi bencana.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut membuka peluang kepada pengamal media untuk menyertai agensi APM sebagai sukarelawan pasukan itu.

"Sebagaimana saya pernah sebutkan dalam ucapan sebelum ini, saya mahu rakan-rakan wartawan dari pelbagai media cetak, media elektronik dan media sosial harus segera tubuhkan pasukan dalam tempoh 60 hari.

“Ini berguna untuk melibatkan mereka dalam usaha (misi) kemanusiaan ketika memberikan liputan yang lebih menonjol kepada agensi masing-masing.

“Kita jangan lupakan media. Media merupakan the fourth estate iaitu agensi atau sebuah badan yang cukup penting, untuk membantu kita mewujudkan kesedaran dalam masyarakat," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN