Perkhidmatan tren Rapid Rail terganggu, penumpang terjatuh di landasan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 3 APRIL – Perkhidmatan tren di antara stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum diberhentikan buat sementara waktu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rapid Rail mengesahkan insiden seorang penumpang terjatuh di landasan di Stesen Abdullah Hukum.
  • Bekalan kuasa di stesen disahaktifkan untuk membolehkan polis, BOMBA dan ambulans menjalankan operasi menyelamat.
  • Perkhidmatan alternatif termasuk bas perantara percuma diaktifkan untuk menyokong operasi dan pengguna.
  • Rapid memohon maaf, memberi kerjasama penuh dengan pihak berkuasa dan akan mengemaskini maklumat melalui media sosial serta pengumuman stesen.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan mengesahkan terdapat insiden kemalangan membabitkan seorang penumpang yang terjatuh di kawasan landasan di Stesen Abdullah Hukum.

Pihak operasi telah menyahaktifkan bekalan kuasa di stesen berkenaan bagi memberi laluan kepada pihak polis, BOMBA dan pasukan ambulans untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Perkhidmatan tren alternatif, termasuk perkhidmatan bas perantara percuma telah diaktifkan bagi menyokong operasi.

“Pengguna yang memerlukan bantuan boleh merujuk kepada Pegawai Stesen dan Polis Bantuan di stesen-stesen berkenaan,” demikian menurut kenyataan tersebut.

Sebarang perkembangan terkini akan dikemaskini menerusi laman media sosial Rapid KL selain pengumuman yang dibuat di stesen.

Pihak Rapid Rail turut memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat kelewatan tren yang berpunca daripada kemalangan berkenaan.

Pihak Rapid akan memberi kerjasama penuh kepada dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kejadian tersebut.