KLANG, 5 Mac- Mana-mana penganjur yang ingin melakukan perhimpunan aman tidak memerlukan permit, akan tetapi dikehendaki mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihak penganjur perlu memberikan notis pemberitahuan dalam tempoh lima hari, sebelum mengadakan sesuatu perhimpunan.
"Seksyen 9 (1) itu memperuntukkan bahawa mana-mana penganjur sekiranya hendak membuat perhimpunan aman, kalau dahulunya perlu 10 hari perlu diberi notis pemberitahuan."
"Tetapi sekarang hanya lima hari sebelum perhimpunan diadakan," kata Razarudin kepada pemberita dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Kuarters anggota polis di Balai Polis Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, petang Isnin.
Sebanyak RM1.9 juta diperuntuk bagi kos pengubahsuaian rumah kuarters berkenaan dengan 20 unit rumah digabung dan dijadikan 10 unit yang lebih selesa dan kondusif.
Tambah Razarudin, perkara itu jelas termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 dan notis pemberitahuan awal itu diperlukan bagi memudahkan urusan mengatur anggota untuk bertugas selain kawalan lalu lintas.