fb fb fb fb fb

PERHEBAT tonggak kerjaya kedua veteran ATM

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin / Foto Bernama

SUNGAI BULOH, 3 Jun – Kementerian Pertahanan komited memperkasa Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) sebagai institusi utama dalam menyediakan kerjaya kedua yang mampan untuk bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata PERHEBAT perlu bergerak secara lebih proaktif, inovatif dan berorientasikan pasaran bagi memastikan para pesara ATM dapat hidup berdikari serta terus menyumbang kepada negara.

“Perjuangan anggota ATM tidak berakhir selepas tamat perkhidmatan. Mereka masih boleh berbakti melalui peranan baharu dalam masyarakat dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (Program RPEL) dan Sijil PERHEBAT di Kompleks PERHEBAT, di sini.

Mohamed Khaled turut memaklumkan, 72 peratus peserta latihan PERHEBAT berjaya memperoleh pekerjaan, meningkat daripada 60 peratus tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 65.4 peratus menjadi usahawan atau bekerja sendiri, manakala 34.6 peratus bekerja di bawah majikan.

Pada majlis yang sama turut diadakan pemeteraian lapan memorandum persefahaman (MoU dan NoU) antara PERHEBAT dan syarikat industri, bagi membuka lebih banyak peluang dalam bidang latihan, keusahawanan dan penempatan pekerjaan.

Antara inisiatif lain yang diketengahkan termasuk Program VETERAN MyWIRA, PUVET ATM dan Projek IPR-INTAN.

Sejak 2023, lebih 5,000 veteran telah mendapat manfaat daripada pelbagai program tersebut. Seramai 3,473 anggota ATM berjaya menamatkan Latihan Peralihan dan 514 anggota serta veteran ATM menerima Diploma Kemahiran Malaysia melalui Program RPEL.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN