fb fb fb fb fb

Pereka tari Prof Dr Joseph dinobat Tokoh Seni KL 2025

Prof Dr Joseph Victor Gonzales (dua, kiri) menerima Anugerah Tokoh Seni Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 pada Majlis Penganugerahan Anugerah Seni Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Koreografer dan pendidik seni tari Prof Dr Joseph Victor Gonzales dinobatkan sebagai Tokoh Seni Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 pada majlis Anugerah Seni Negeri (ASN) yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Anugerah itu sebagai penghargaan kepada sumbangannya yang luar biasa dalam bidang tari dan seni persembahan yang telah diperjuangkannya selama lebih empat dekad.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris, penganugerahan itu bagi mengiktiraf kepimpinan beliau dalam memperkasa seni persembahan khususnya di Kuala Lumpur.

"Penganjuran anugerah ini sejajar dengan hasrat kerajaan mengembalikan Anugerah Seni Negara sebagai penghargaan tertinggi bagi tokoh seni, budaya, dan warisan," katanya.

Turut ditekankan ASN sebagai platform strategik untuk memperkukuh ekosistem seni dan budaya selaras dengan Dasar Kebudayaan Negara dan aspirasi Malaysia MADANI.

Sementara itu, Anugerah Pendukung Seni diberikan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya, dan Radio KLFM, sebagai penghargaan kepada komitmen mereka memperkukuh seni di peringkat komuniti dan media.

"KLFM antara media yang ke hadapan dalam mempromosikan seni budaya, dan juri memilih KLFM bagi kategori media," jelasnya.

Anugerah Penggiat Seni disandang oleh Abdul Wahab Hamzah (teater) dan Sivabalan Shanmuga Sundram (muzik), diiktiraf atas dedikasi mereka memartabatkan seni persembahan tanah air.

ASN 2025 turut menjadi pemangkin kepada lebih ramai penggiat seni berwibawa, memperkukuh warisan budaya bangsa di peringkat negeri dan kebangsaan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ