KUALA LUMPUR, 29 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat daripada delegasi Amazon Web Services (AWS) diketuai Naib Presiden Global Public Policy AWS, Michael Punke.
Beliau menerusi satu hantaran di Facebook berkata, pertemuan itu turut memaklumkan berkenaan status kemajuan pelaburan AWS di Malaysia.
"Pelaburan tahun lalu berjumlah RM25.5 billion (US$6 billion) untuk tempoh 15 tahun bermula 2023.
"Ini antara lain melibatkan pembangunan pusat data di Negeri Sembilan, Selangor dan Kuala Lumpur, yang berjalan mengikut perancangan," katanya.
Malaysia juga mengalu-alukan pelaburan dan kerjasama strategik AWS dalam menyokong ekosistem transformasi digital terkini seperti pengkomputeran awan, Internet of Things (IoT), 5G dan generatif kecerdasan buatan (AI).
Perkara itu penting bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam kemajuan teknologi terkini setanding dengan negara-negara maju yang lain.
Dalam pada itu beliau juga menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif MASDAR Mohamed Jameel Al Ramahi, dan delegasi diiringi Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia Dr. Mubarak Saeed Aldhaheri.
"Dalam pertemuan ini, MASDAR memaklumkan kemajuan terkait cadangan pelaburan yang akan dilaksanakan di beberapa buah negeri dengan rakan perniagaan tempatan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
"Perkongsian dan pelaburan strategik seperti ini penting bagi mencetus anjakan kepada ekosistem infrastruktur tenaga Malaysia selari dengan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang sedang giat dilaksanakan," katanya.
Anwar juga mengharapakan kedua-dua pertemuan itu membuka lebih banyak peluang dan ruang pelaburan, penambahan pekerjaan dan lonjakan ekonomi, selain situasi menang-menang antara pihak terlibat.