KUALA LUMPUR, 24 Februari- Jumlah perdagangan Malaysia diunjur naik lima peratus tahun ini daripada RM2.879 trilion dicatatkan tahun lepas.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata bagaimanapun, sasaran itu bergantung kepada sebarang ketidaktentuan luaran, yang berisiko mempengaruhi prestasi perdagangan negara.
"Sama seperti Bank Dunia dan IMF, mereka sentiasa menyemak semula ramalan KDNK dunia pada bila-bila masa tahun lalu kerana geopolitik dan geoekonomi yang berlaku. Jadi, jika anda tanya saya hari ini, sasaran MATRADE adalah sekurang-kurangnya pertumbuhan 5 peratus.
Tetapi, kerana cabaran dan andaian yang telah mereka buat, kami menjangkakan pertumbuhan yang seiring dengan KDNK," kata Tengku Datuk Seri Zafrul kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui dalam sidang media Kad Laporan Prestasi MITI 2024 dan Prospek 2025.
Sementara itu, rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) dijangka dimuktamad tahun hadapan.
Jelasnya, minyak sawit tidak lagi menjadi isu dalam perjanjian itu, susulan langkah piawaian dan pematuhan yang dilaksanakan oleh negara.
Namun, terdapat bidang lain yang perlu dipertimbangkan sebelum FTA itu dimuktamadkan.
Dalam perkembangan lain, isu-isu penting melibatkan integrasi ekonomi ASEAN akan jadi fokus perbincangan pada Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN ke-31.
Jelas Tengku Datuk Seri Zafrul, ia termasuk cabaran geopolitik semasa dan cabarannya kepada pertumbuhan ekonomi di rantau ini.
Selain itu, keberhasilan utama ekonomi (PED) yang ditetapkan oleh Malaysia sebagai pengerusi ASEAN, akan turut dibentangkan dalam pemukiman yang berlangsung Jumaat ini di Desaru, Johor.
Perbincangan juga akan memberi tumpuan kepada kemajuan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), mengkaji status rundingan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dinaik taraf, serta kemajuan penyertaan Timor Leste ke dalam ASEAN.