fb fb fb fb fb

Percutian keluarga bertukar tragedi, datuk ditemukan lemas

Pantai Irama, Bachok

BACHOK, 8 Februari- Seorang wanita tidak menyangka percutiannya bersama keluarga bertukar tragedi apabila suaminya ditemukan lemas di Pantai Irama, di sini hari ini.

Zuraini Isa, 55 tahun mencerikatan kejadian berkata, dia bersama suami, anak serta cucu dari Kampung Paya Senang, Kota Bharu ke pantai berkenaan untuk bercuti.

Namun suaminya Roslee Yusof, 63 tahun maut ketika cuba menyelamatkan dua cucunya Muhammad Zhafran Mohammad Zul-Izzy (8 tahun) dan Muhammad Lutfirrahman (7 Tahun) yang dihanyutkan ombak.

Melihat kejadian itu, Zuraini bersama anak perempuannya yang berada di kedai makan berhampiran bergegas ke tempat kejadian untuk membantu namun, anaknya juga turut lemas.

Kemudian Zuraini meminta bantuan daripada orang awam dan anggota Agensi Pertahanan Awam (APM) yang kebetulan berada di tempat kejadian.

"Masa mula-mula kejadian cucu main dekat tepi pantai tapi masa mandi, saya tengok cucu dah dibawa arus. Selepas tu suami cuba untuk menyelamatkan cucu.

"Kemudian saya meminta bantuan daripada anak perempuan untuk bantu selamatkan dua anak dia, tetapi suami tak dapat diselamatkan," katanya.

Beliau berkata, dua cucu dan anaknya berjaya diselamatkan orang awam dan anggota APM manakala suaminya yang cuba diselamatkan tidak sedarkan diri dan diberi bantuan awal kecemasan.

Mangsa dilaporkan sudah meninggal dunia selepas pengesahan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Daerah Bachok.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Kejadian berlaku kira-kira 9.30 pagi tadi ketika mangsa turun ke pantai bagi mengawasi dua cucunya yang sedang mandi di kawasan benteng batu pantai berkenaan," katanya.

Jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian untuk bedah siasat manakala anak perempuan bersama dua cucunya mendapatkan rawatan di Hospital Bachok.

Dalam pada itu orang awam dinasihatkan tidak melakukan aktiviti bermandi-manda di pantai berikutan cuaca masih berada dalam musim Monsun Timur Laut dengan angin kencang dan ombak besar.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI