PUTRAJAYA, 28 Januari- Perbetulkan niat ketika beribadah di Masjidilharam dan Masjid Nabawi, fokus kepada ibadah, elakkan perbuatan dan tindakan yang dibimbangi menjejaskan nama baik negara kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Mohd Na'im berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan rakyat Malaysia bersilat di Masjid Nabawi, sehingga tular di media sosial baru-baru ini.
Namun perbuatan tersebut tidak menjejaskan kuota haji mahupun rayuan dan menurut beliau, tiada sebarang laporan negatif diterima setakat ini.
"Nasihat kepada mereka yang ingin mengunjungi dan menziarahi Masjidilharam dan Masjid Nabawi untuk memperbetulkan niat masing-masing. Kalau kita ingin melakukan ibadat maka tumpukan kepada ibadat.
"Setakat ini tiada laporan negatif diterima sehingga membawa kepada kuota. Sebab kuota itu dah diberikan. Jadi tidak timbul persoalan kuota, mungkin akan dikurangkan cuma dalam masa sama saya mengharapkan kita merayu untuk tambah kuota tersebut dan rayuan kita ini juga tidak terjejas disebabkan perkara itu," katanya selepas merasmikan pelepasan larian MAIWP RUN 2024 bersama-sama Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Program larian tersebut dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Persekutuan dengan Kerjasama Pusat Pungutan Zakat sempena 50 tahun kegemilangan MAIWP-PPZ di Dataran Wawasan, Putrajaya dan menerima seramai 11,078 penyertaan.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan, Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar; Pengerusi PPZ-MAIWP Tan Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail.
Dalam perkembangan lain, golongan asnaf yang dahulunya penerima bantuan zakat harus tampil memaklumkan status terkini sekiranya sudah keluar dari kepompong kemiskinan.
Mohd Na’im berkata, zakat adalah hak golongan tertentu dan hak tersebut tidak boleh diambil oleh orang lain dengan cara yang salah terutama yang tidak layak menerima bantuan.
"Kita ada juga kes-kes yang mana mereka yang sudah keluar tetapi dia tidak memaklumkan yang dia dah keluar daripada zon yang layak untuk terima zakat.
"Jadi saya merayu dan minta kepada mereka ini untuk tampil ke depan dan memaklumkan sebab kita kena ingat zakat ini dia ada hak dia untuk orang yang tertentu. Jadi kalau kita tak termasuk dalam golongan yang layak menerima zakat tersebut maknanya kita ambil hak orang lain," katanya.
Proses pemutihan sedang giat dijalankan untuk mengenal pasti golongan asnaf yang layak untuk menerima bantuan dan data-data dalam rekod MAIWP akan diselaraskan dengan sistem PADU.