KOTA BHARU, 16 September – Sambutan Hari Malaysia di Kota Bharu tahun ini diserikan dengan perarakan dua ekor gajah bersama lebih 500 peserta berpakaian tradisional Melayu.
Perarakan sejauh 1.2 kilometer itu bermula dari Dataran Masjid Muhammadi dan berakhir di Istana Balai Besar.
Menurut Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan merangkap Penyelaras Program, Mohamed Safaruddin Ismail, pemilihan gajah bertujuan mengembalikan nostalgia istiadat silam.
“Kalau ikut sejarah, setiap peristiwa penting dan istiadat yang berlangsung di Istana Balai Besar dahulu akan diiringi perarakan gajah. Jadi, kita mahu menghidupkan semula tradisi ini, sekali gus memberi peluang kepada pengunjung dari dalam dan luar Kelantan untuk menyaksikannya,” katanya.
Kedua-dua ekor gajah denak yang dinamakan Sanum dan Cheri dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Sanum dan Cheri turut ditempatkan di perkarangan Istana Balai Besar sehingga petang ini bagi memberi peluang orang ramai bergambar bersama.