(Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyerahkan replika cek bernilai RM50,000 kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bernama pada Majlis Penyerahan Sumbangan Cek untuk Sambutan HAWANA di Putrajaya/BERNAMA)
PUTRAJAYA, 16 Mei- Peranan dan sumbangan pengamal media akan terus dihargai terutama dalam aspek membantu pembangunan negara.
Demikian menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau menjelaskan wartawan memainkan peranan signifikan, tidak kira bertugas untuk media konvensional, media perdana mahupun media sosial.
(Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi/BERNAMA)
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Majlis Penyerahan Replika Cek Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
Pada majlis itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyumbang tajaan bernilai RM 50,000.00 untuk penganjuran HAWANA 2023 bertemakan “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” yang dijadual berlangsung dari 27 hingga 29 Mei ini di Ipoh, Perak.
Replika cek sumbangan itu disampaikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kepada Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin, disaksikan Ketua Setiausaha KKDW Datuk Seri Ramlan Harun dan Ketua Penyiaran (TV dan Radio) Bernama D. Arul Rajoo.