fb fb fb fb fb

Perak sambut baik cadangan bina galeri Allahyarham M Daud Kilau

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee / Foto Bernama

IPOH, 20 Disember - Kerajaan negeri Perak menyambut baik cadangan untuk mewujudkan galeri seni khusus untuk penyanyi legenda, Allahyarham Datuk M Daud Kilau di Bagan Datuk.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata perancangan itu perlu dilihat daripada pelbagai sudut termasuk persetujuan dengan keluarga penyanyi berkenaan serta faktor tarikan pelancong ke galeri tersebut.

"Apa-apa projek  sekiranya kita lihat dapat membantu untuk mendapat lebih bilangan pelancong, menguntungkan terutamanya kepada rakyat dan negeri kita akan buatlah, kita akan lihat terlebih dahulu," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis tandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tourism Perak bersama Grab Malaysia, di sini.

Allahyarham M Daud Kilau, 85 tahun, meninggal dunia pada pukul 4.46 petang pada Isnin akibat jangkitan kuman dalam darah semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan.

Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Balai Baroh di Bagan Datuk pada Selasa.

Sementara itu, Sze Yee berkata pemeteraian kerjasama antara Grab Malaysia dengan Tourism Perak sebagai rakan kongsi strategik sempena Tahun Melawat Perak 2024 adalah bagi memastikan pelancong mempunyai pilihan pengangkutan yang mudah dan boleh dipercayai sepanjang melakukan aktiviti pelancongan di negeri itu.

Katanya, kerjasama itu akan menumpukan kepada tiga fokus utama iaitu rakan kongsi e-hailing eksklusif, pengalaman hidangan lima bintang dengan Grab Food dan rakan pemandu Grab sebagai duta.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN