Perak perkasa ekonomi, bina industri bernilai tinggi

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah) pada Majlis Pelancaran Prospektus Kee Ming Group Berhad/Foto BERNAMA

IPOH, 21 Januari Perak terus memperkukuh pembangunan ekonominya melalui Pelan Perak Sejahtera 2030 dengan memfokuskan kepada pertumbuhan industri bernilai tinggi secara mampan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus Pelan Perak Sejahtera 2030 ke arah pertumbuhan industri bernilai tinggi secara mampan.
  • Tekanan pada kepastian dasar, infrastruktur strategik dan pemerkasaan tenaga serta modal insan.
  • Sektor kejuruteraan mekanikal dan elektrikal sebagai teras sokongan peralihan industri moden.
  • Pembangunan nod perindustrian strategik seperti LuMIC, Perak HIP, KIGIP, SVTP dan AHTV.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pendekatan itu menekankan kepastian dasar, pembangunan infrastruktur strategik serta pemerkasaan tenaga dan modal insan bagi meningkatkan daya saing jangka panjang negeri.

“Dalam kerangka ini, sektor kejuruteraan mekanikal dan elektrikal merupakan antara komponen teras yang menyokong peralihan industri merangkumi sistem elektrik, penyaman udara dan pengudaraan mekanikal, perlindungan kebakaran, infrastruktur tenaga dan kecekapan operasi.

“Kepakaran ini bukan sahaja diperlukan, malah menjadi prasyarat kepada pembangunan industri moden,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Prospektus Kee Ming Group Berhad di sini, pada Rabu.

Tambah beliau, Perak kini sedang membangunkan beberapa nod perindustrian strategik yang dirancang secara bersepadu bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.

Antara kawasan tersebut ialah Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) dan Perak Halal Industrial Park (Perak HIP) di Manjung, selain Kerian Integrated Green Industrial Park (KIGIP), Silver Valley Technology Park (SVTP) dan Automotive High-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim.