Perak laksana Promosi Insentif Kewangan untuk pemilik tanah

FOTO RTM

IPOH, 20 Februari – Bagi meringankan beban kewangan rakyat, kerajaan negeri melaksanakan Promosi Insentif Kewangan Pakej Tanah Perak Sejahtera yang berlangsung dari 20 Januari hingga 28 Februari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Promosi Insentif Kewangan Pakej Tanah Perak Sejahtera dijalankan 20 Jan hingga 28 Feb untuk meringankan beban pemilik tanah.
  • Kategori Patut, Patuh dan Prihatin tawar diskaun tunggakan hingga 25% dan pengecualian denda, serta diskaun dokumen hingga 50%.
  • Pembayaran boleh dibuat secara FPX, perbankan utama atau kaunter; tujuan tingkatkan pematuhan cukai dan sokong kutipan hasil negeri.

Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata promosi itu juga bertujuan menggalakkan pematuhan pembayaran cukai tanah.

Promosi ini merangkumi tiga kategori utama iaitu Patuh, Patut dan Prihatin Perak Sejahtera.

Menerusi kategori Patut Perak Sejahtera, diskaun tunggakan sehingga 25 peratus serta pengecualian 100 peratus denda lewat ditawarkan tertakluk kepada bayaran penuh sebelum tarikh akhir.

Bagi kategori Patuh Perak Sejahtera, pemilik tanah yang tidak pernah culas membayar cukai layak menyertai cabutan bertuah dengan hadiah keseluruhan kira-kira RM140,000.

“Jadi saya menyerulah kepada semua pemilik-pemilik tanah yang berhadapan dengan liability cukai yang mempunyai masalah terhadap tunggakan maka ini adalah peluang terbaik kerana pakej kali ini adalah pakej terbesar yang pernah kita tawarkan bagi menangani isu tunggakan cukai tanah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ipoh.

Beliau berkata kategori Prihatin Perak Sejahtera menyediakan diskaun sehingga 50 peratus bagi urusan dokumen hak milik termasuk pengecualian denda lewat.

Pembayaran boleh dibuat secara dalam talian melalui FPX dan perbankan utama atau di kaunter pentadbiran tanah negeri.

Pendekatan ini dijangka meningkatkan pematuhan cukai, mengelakkan risiko kehilangan hak milik serta menyokong sasaran kutipan hasil negeri sekitar RM1.1 bilion tahun ini.