
MUALLIM, 28 Mac – Kerajaan Negeri Perak terus komited menyediakan perumahan mampu milik menerusi pembangunan Projek Rumah Perakku di Kota Malim Prima, di sini.
- Projek dibangunkan oleh LPHP bersama pemaju di atas kawasan 36.44 ekar untuk memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
- Pelaksanaan dua fasa melibatkan 340 unit, termasuk Rumah Perakku 1, 2 dan 3, harga antara RM90,000 hingga RM250,000.
- Pembangunan penting bagi menyokong perkembangan Muallim sebagai hab automotif, termasuk AHTV, serta menyediakan perumahan untuk pekerja dan penduduk setempat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek yang dibangunkan di atas kawasan seluas 36.44 ekar itu dilaksanakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bersama pemaju bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Menurut beliau, projek tersebut akan dilaksanakan dalam dua fasa melibatkan keseluruhan 340 unit rumah, termasuk Rumah Perakku 1, 2 dan 3 dengan harga bermula RM90,000 hingga RM250,000.
“Kita menjangkakan keperluan kediaman akan meningkat selaras pembangunan selatan Perak sebagai hab automotif.
“Daerah ini akan terus berkembang dalam jangka panjang, justeru pembinaan perumahan perlu dilaksanakan lebih awal bagi mengelakkan kos yang lebih tinggi pada masa hadapan,” katanya.
Fasa pertama melibatkan 199 unit rumah, manakala fasa kedua merangkumi 141 unit rumah teres setingkat serta tambahan 43 unit rumah harga terbuka.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Projek Rumah Perakku, Kota Malim Prima di daerah Muallim, pagi tadi.
Pembangunan perumahan di kawasan itu dilihat penting sebagai persediaan menghadapi perkembangan pesat kawasan berkenaan sebagai hab automotif termasuk projek Automotive High-Tech Valley (AHTV), sekali gus memenuhi keperluan kediaman bagi pekerja dan penduduk setempat.