SUNGAI SIPUT, 27 September – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Perak Agrofest 2025 di Ladang Infoternak Sungai Siput hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Keberangkatan tiba baginda berdua pada pukul 3.10 petang itu disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Datuk Seri Saarani dalam sembah ucapannya berkata, Perak Agrofest menjadi medan memperkukuh jaringan petani, memperluas ekosistem pertanian, dan memacu agropelancongan.
Ia turut memperkenalkan TVET agro, serta menyemarakkan teknologi pintar dalam sektor makanan negara.
“Inilah manifestasi nyata komitmen kerajaan paduka seri tuanku untuk menjadikan Perak sebagai peneraju agromakanan yang inklusif, berdaya saing dan lestari.
“Maka bertepatanlah tema Perak Agrofest 2025: Lestari agro, Perak makmur”, katanya.
Pada acara itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan anugerah khas kepada 15 orang penerima.
Antaranya Anugerah Peladang Jaya Kategori Lelaki dan Wanita, Anugerah Nelayan Jaya, Anugerah Peneraju Akuakultur serta Anugerah Kumpulan Usahawan Tani Terbaik.