LABUAN BAJO, 10 Mei- Penyelesaian kepada konflik Mynmar dan jenayah rentas sempadan antara perkara yang disepakati Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN dalam mesyuarat bersama sempena Sidang Kemuncak Asean ke-42.
Ia antara topik hangat yang dibincangkan menerusi tiga mesyuarat iaitu Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri (AMM), Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-26 (APSC) dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-33 (ACC ke-33).
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, Konsensus Lima Perkara (5PC) kekal menjadi mekanisme utama dalam menangani situasi di Myanmar.
Ia perlu dilaksanakan sepenuhnya oleh pihak-pihak berkenaan selain menyokong usaha Pengerusi ASEAN untuk berdialog dengan semua pemegang taruh di Myanmar.
"Kita telah buat keputusan bersama bahawa kita jangan mundur ke belakang dalam usaha untuk mengatasi dan membantu menyelesaikan masalah di Myanmar.
Ini termasuk dalam urusan yang berkaitan dengan bantuan kemanusiaan yang menjadi salah satu daripada perkara utama yang dibincangkan," katanya.
Datuk Seri Dr. Zambry ditemui RTM selepas menyertai ketiga-tiga mesyuarat melibatkan Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN di sini.
(Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ketika menghadiri
Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri di sini)
Menyentuh mengenai jenayah rentas sempadan pula, Malaysia menekankan isu pemerdagangan manusia yang kerap berlaku khususnya melibatkan kes penipuan pekerjaan.
Kerjasama pelbagai pihak di peringkat domestik perlu dilakukan selain libat urus dengan INTERPOL dan ASEANAPOL bagi membantu meningkatkan kesedaran masyarakat.
Mengulas mengenai penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN pula, beliau turut mengulangi sokongan Malaysia terhadap permohonan negara itu dan mengalu-alukan sidang kemuncak berkenaan untuk menerima Pelan Hala Tuju Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN.