
KUALA LUMPUR, 5 Februari- Usaha mempergiat inisiatif bersepadu dijalankan untuk memastikan bantuan dan program keusahawanan disalurkan dengan lebih cekap, terselaras dan mengelakkan pertindihan bagi manfaat rakyat.
- Inisiatif bersepadu dipertingkat untuk menyelaraskan bantuan dan elakkan pertindihan antara agensi.
- SMEIPA dilaksanakan sejak 2006 sebagai rujukan utama bagi intervensi pembangunan PMKS.
- Fokus SMEIPA pada pembiayaan, modal insan, teknologi dan inovasi, akses pasaran serta infrastruktur.
- Pengawasan program melalui MPUPK dan penubuhan sekretariat untuk penggunaan dana lebih berkesan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata kementerian komited menyelaras maklumat penerima bantuan dan program keusahawanan merentas agensi bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian.
“Berdasarkan Laporan Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) 2025, sebanyak 349 program pembangunan keusahawanan dan PKMS telah dilaksanakan menerusi penglibatan 15 kementerian, 56 agensi serta 13 kerajaan negeri.
“Inisiatif ini melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM30.34 bilion dan memberi manfaat kepada 613,511 PKMS,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan di Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Mohamad Alamin menjelaskan KUSKOP melalui SME Corp Malaysia telah melaksanakan Pelan Tindakan Bersepadu PMKS (SME Integrated Plan of Action, SMEIPA) sejak 2006 sebagai rujukan utama kerajaan untuk memastikan intervensi pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh.
Pelaksanaan SMEIPA memberi fokus kepada lima bidang utama iaitu akses pembiayaan, pembangunan modal insan, penerapan teknologi dan inovasi, akses pasaran serta infrastruktur.
Beliau menambah, pelaksanaan program turut dipantau melalui Mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK), selain diperkukuh dengan penubuhan Sekretariat MPUPK bagi memastikan penggunaan dana kerajaan lebih berkesan.