fb fb fb fb fb

Penyasaran subsidi: Pengelasan pendapatan T15 belum diputuskan - PM

Foto BERNAMA

IPOH, 27 Oktober- Kerajaan belum memutuskan pengelasan pendapatan bagi golongan T15 (kumpulan pendapatan 15 peratus teratas) berkaitan penyasaran subsidi petrol kerana perkara itu masih diteliti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ia masih dicerakinkan bagi memastikan hanya golongan kaya perlu membayar harga sebenar petrol manakala 85 peratus rakyat tetap menikmati subsidi.

“Ada yang dah marah, kata T15 mana boleh hidup dengan RM12,000? Siapa kata RM12,000... ia belum diputuskan.

"Kita nak tengok apakah T15 itu mampu bayar, kalau tak mampu jadi T10, atau T15 itu kita tetapkan lebih tinggi daripada pendapatan RM12,000 sekarang, belum lagi putus,” katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis perasmian Konvensyen Keadilan Perak di sini hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025, Perdana Menteri memaklumkan bahawa beberapa subsidi akan dikurangkan bagi golongan T15 dan perkara itu mendapat perhatian pelbagai pihak yang meminta kerajaan meneliti semula pengelasan pendapatan isi rumah bagi mengelakkan keciciran pemberian bantuan serta subsidi petrol.

Anwar turut menyelar tindakan sesetengah pihak yang mempertahankan subsidi bagi golongan T15 sedangkan pendapatan mereka ada mencecah RM100,000 hingga RM1 juta.

“Kenapa nak pertahankan? Kalau pendapatan rendah, kita bawa dan kita bagi pertimbangan. Kita tidak mahu bebankan rakyat, yang pentingnya 85 peratus tidak terkesan daripada kenaikan ini," katanya.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM