KUALA LUMPUR, 13 Mac –Penyampai berita radio pertama memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Dr. Mu. Sangar kini bercita-cita mahu namanya disenaraikan dalam ‘Malaysia Book of Records’.
Menurut Penyampai Berita Radio RTM Bahasa Tamil, idea muncul selepas ikon penyiaran negara, Dato Harjit Singh Hullon memberitahu bahawa beliau adalah penyampai berita radio pertama di negara ini, memiliki PhD.
“Jika berjaya disenaraikan, ia satu pengiktirafan bukan sahaja kepada diri saya malah kepada RTM,” jelas Dr. Mu Sangar yang telah berkhidmat di RTM selama hampir 24 tahun, iaitu sejak 2001.
“Sudah tentu pengktirafan ini akan menjadi kebanggaan. Malah diharap dapat memberi motivasi kepada ramai lagi pemberita dan wartawan muda yang sedang berkhidmat berusaha mencapai kecemerlangan akademik sehingga ke peringkat pendidikan tinggi, seterusnya mendapatkan pengiktirafan di peringkat kebangsaan.
“Akan cuba, sebagai penyampai berita radio pertama di dunia dengan PhD atau penyampai berita radio Tamil pertama di dunia memiliki PhD,” jelasnya.
Anak kelahiran Ladang Seafield, Puchong, Selangor ini berjaya menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada 2020, tahun sama menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.
Beliau menamatkan pengajiannya setelah selesai membuat kajian dalam bidang kesusasteraan Tamil bertajuk “Pemikiran Kritis dalam Teks Naladiyar”. Naladiyar dengan 400 sajak merupakan karya etika terkemuka dalam bahasa Tamil yang disunting pada tahun 900 masihi.
Ilmu kekayaan kekal
Menurut Dr. Mu Sangar, beliau berpendirian bahawa hanya ilmu akan menjadi kekayaan yang kekal. Atas prinsip itu beliau menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada 2014 di Jabatan Pengajian India, Universiti Malaya meskipun sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kimia) dengan kepujian pada 1999 dari Universiti Sains Malaysia.
Pada 2011 beliau meneruskan pengajian dan menerima Ijazah Sarjana dalam Kesusasteraan Tamil (Sanga Ilakkiyam). Ketika itu, beliau membuat kajian mengenai Budaya masyarakat Tamil zaman Sangam berdasarkan teks Paripatal.
Paripatal adalah antologi sajak yang menggambarkan dengan jelas cara hidup dan nilai masyarakat Tamil zaman Sangam. Beliau turut menjalankan penyelidikan kesusasteraan Tamil dengan bantuan MyBrain dari Kementerian Pengajian Tinggi.
Sebenarnya, khidmat Dr. Mu. Sangar tidak terhad kepada bilik berita RTM sahaja, malah di peringkat nasional terutama dalam bidang pendidikan. Pada tahun 2019, beliau dilantik oleh Timbalan Menteri Pendidikan sebagai Ketua Bahagian Terjemahan Majlis Pembakuan Bahasa Tamil Malaysia, bawah Kementerian Pendidikan.
Terjemahan Athichudi, sebuah karya bahasa Tamil oleh pujangga Avvaiyar telah diterjemahkan oleh Dr. Mu. Sangar dan rakan-rakannya ke dalam Bahasa Melayu dan selepas itu diterjemah ke bahasa Inggeris dan Mandarin. Penerbitan naskah itu dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan pada 11 Mac tahun lalu.
Naskah itu muncul sebagai buku terjemahan Athicudi pertama di dunia dalam Bahasa Melayu-Inggeris-Mandarin berdasarkan bahasa asalnya. Kejayaan cemerlang Dr. Mu. Sangar dalam akademik selain berpengalaman luas dalam bidang berita, UM turut mengundang dan melantik Dr. Mu. Sangar sebagai Felo di Fakulti Bahasa dan Linguistik sejak 2023.
Selain itu, Dr. Sangar turut berkhidmat sebagai panel penterjemah sambilan di Institut Terjemahan dan Buku Negara (IKBN).
Ditanya mengenai caranya menguruskan masa antara kerjaya dan pencapaian akademik, Dr. Mu. Sangar berkata ia bukan perkara mudah untuk mengimbangi tugasan yang sentiasa menjadi rujukan rakyat segenap peringkat.
“Bagi mengekalkan kredibiliti dan kepercayaan pendengar di negara ini, saya tidak pernah jemu menambah kualiti diri terutama menerusi pencapaian akademik,” katanya yang turut menegaskan hanya menerusi akademik, selain pengalaman mampu mengajar seseorang individu dan personaliti tampil yakin dan berkredibiliti di mata dan telinga masyarakat.
Berbekal semangat itulah, Dr. Mu. Sangar mengecap kejayaan menggulung taraf tertinggi akademik iaitu Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari UM.
“Sebagai satu-satunya penyampai berita yang membawa gelaran Dr Falsafah, ia suatu tanggungjawab berat namun suatu pengalaman berbaloi sepanjang 24 tahun kariernya dalam industri penyiaran di Malaysia,” tambahnya.
Mengenai penglibatan awal kerjaya dalam bidang penyiaran, Dr. Mu. Sangar yang memiliki pengalaman bekerja sebagai ahli kimia, tidak menyangka diterima sebagai penyiar oleh Dr. V.Poobalan, seorang tokoh penyiaran Tamil di Malaysia.
Jelasnya, pengalaman sebagai penyampai berita radio, pemberita, penyunting berita radio dan TV semasa di RTM banyak mengajar Dr.Mu. Sangar mengenai pembangunan bakat dan ilmu yang menurutnya harus bergerak seiring.
Kebolehan Dr. Mu. Sangar turut diiktiraf rakan sebidang, yang juga ikon penyiaran negara, Dato Harjit Singh Hullon. Menurut Dato Harjit, beliau amat berbangga melihat warga RTM seperti Dr. Mu. Sangar berusaha meningkatkan tahap intelektual bukan sahaja untuk dirinya, tetapi turut memberi manfaat kepada masyarakat.
Bagi seorang lagi veteran penyiaran tersohor negara S. Arokiasamy, kepelbagaian bakat dimiliki Dr. Mu. Sangar terutama dalam komuniti berbahasa Tamil, merupakan suatu kebanggaan yang perlu menjadi contoh untuk semua.
Dr. Mu Sangar ketika menyampaikan Berita Radio Tamil di Konti Wisma Berita RTM
Ahli Kimia ke Penyiar di RTM
Dr. Mu. Sangar mula menjejak kaki di Angkasapuri pada Mac 2001 sebagai penyiar sambilan (Artis Berjadual), mempertaruhkan bakat sebagai penyiar di stesen MINNALfm (ketika itu Radio 6).
Latar pengalaman kerjaya sebagai ahli kimia ketika itu tidak menghalang Dr. Mu. Sangar mencuba nasib dan semuanya berubah apabila beliau diterima sebagai penyiar oleh Dr.V.Poobalan, seorang tokoh penyiaran Tamil di Malaysia ketika itu.
Kira-kira 5 tahun menyinar sebagai penyiar radio, Dr. Mu. Sangar yang sentiasa ingin mencuba bidang baharu mula bertugas sebagai penyampai berita, penerbit program (sastera, pilihan juruhebah), penerbit rancangan, juruhebah dan pengulas siaran langsung.
“Pengalaman paling berharga apabila diberi peluang mengendalikan rancangan siaran pagi ‘Hello Malaysia’ (Vanakkam Malaysia) pada pagi Ahad selama hampir tiga tahun, jelas Dr. Mu. Sangar ketika ditanya mengenai pengalaman berharga bersama RTM.
“Banyak inovasi dibawakan dalam program tersebut yang melekat di hati pendengar. Ketika itu, saya memperkenalkan istilah ‘Suliyam’ (angka kosong dalam Bahasa Tamil) dalam industri penyiaran Malaysia.
“Walaupun pada awalnya tidak diterima banyak pihak, istilah itu akhirnya digunakan secara meluas dalam media termasuk media Tamil swasta,” katanya.
Anak kelima kepada En. Munisamy dan Pn. Sevathal itu sememangya tidak mengenal erti jemu atau ingin berhenti untuk membuat perubahan dalam kerjayanya.
“Saya pernah mencuba bidang penyiaran TV untuk seketika, tetapi nyata medium radio telah sebati dalam diri sehinggalah sekarang kekal berkhidmat di Berita Radio,” jelas Dr. Mu. Sangar mengakhiri perbualan.