fb fb fb fb fb

Penyaluran bantuan banjir di Pahang perlu berurusan dengan PKOB

Foto facebook Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 3 Januari- Penyaluran sebarang bentuk bantuan banjir di negeri Pahang perlu berurusan dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah agar ia dapat diselaraskan secara lebih sistematik dan adil.

Justeru, badan-badan bukan kerajaan (NGO) mahupun orang persendirian yang ingin menyumbang disarankan agar menghantar bantuan melalui PKOB.
 
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penyelarasan itu penting bagi mengelakkan lambakan bantuan yang hanya tertumpu di satu tempat serta berlaku keciciran.

"Kita ada Pusat Khidmat Operasi Bencana (PKOB) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah. Di Pahang ini, semua aktiviti sama ada pembersihan, bantuan kita salurkan kepada PKOB, kita tidak mahu kerja dua kali ataupun bertindih, maknanya kita beri kepada PKOB Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana akan menyelaraskan perkara-perkara ini", katanya.
 
Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan Pakej Prihatin kepada 1,500 keluarga dan bekalan bahan api kepada agensi penyelamat menerusi Program Memacu Kehidupan: Bantuan Bencana 2023 oleh Yayasan PETRONAS di Wisma Sri Pahang, Kuantan, pagi tadi.
 
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob dan Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
 
Sumbangan Pakej Prihatin itu terdiri daripada keperluan asas seperti selimut, tuala mandi, biskut, makanan, peralatan mandian, ubat gigi, berus gigi dan air mineral diagihkan kepada setiap keluarga dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang.
 
Selain itu, Yayasan PETRONAS turut menyumbang Kad Hadiah PETRONAS (PETRONAS Gift Card) bernilai RM10,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang sebagai sokongan kepada usaha menyelamat mangsa banjir oleh agensi keselamatan seperti PDRM, JPBM dan APM.

ROSLINA BINTI DIN