
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Impak kenaikan harga minyak dunia hanya akan dirasai Malaysia jika konflik di Asia Barat berterusan sehingga tiga bulan dan ke hadapan.
- Sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia berpotensi memperoleh manfaat daripada kenaikan harga minyak melalui peningkatan hasil dan dividen Petronas.
- Kos import dijangka meningkat, yang boleh mengurangkan lebihan akaun dagangan dan memberi tekanan kepada keseimbangan ekonomi.
- Pergerakan ringgit akan terjejas dan dolar AS turut terkesan akibat ketidaktentuan geopolitik dunia.
Penganalisis Dasar Luar, Keselamatan dan Strategi Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat bagaimanapun berpandangan, sebagai negara pengeluar minyak, Malaysia sebaliknya menerima impak positif berikutan harga pasaran yang dijangka meningkat.
“Kita juga sebagai negara pengeluar minyak dan kita juga ada implikasi positif daripada segi peningkatan harga minyak dunia.
“Tapi mungkin implikasi ini akan dirasai dalam jangka masa yang lebih panjang daripada segi dividen Petronas semua itu mungkin dapat kita nikmati dalam masa terdekat ini,” katanya selepas menjadi tetamu Program Selamat Pagi Malaysia di sini, hari ini.
Tambahnya, implikasi kepada Malaysia lebih menjurus kepada kos import yang akan meningkat dan boleh mengurangkan lebihan imbangan dagangan.
Manakala pola pergerakan ringgit juga akan terkesan ditambah berlaku impak kepada dolar AS akibat ketidaktentuan geopolitik dunia.