fb fb fb fb fb

Penutupan lebuhraya untuk larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024

Antara laluan di Lebuhraya Baru Pantai Expressway (NPE) yang akan ditutup untuk larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024/ Foto Bernama

SHAH ALAM, 4 September - Lebuhraya Baru Pantai Expressway (NPE) dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) akan mengalami penutupan jalan pada hari Ahad ini, sempena acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge 2024.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan bahawa penutupan jalan akan bermula pada pukul 12.01 tengah malam dan dijangka akan dibuka semula sepenuhnya pada pukul 11 pagi pada hari yang sama.

"Semasa acara larian berlangsung, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor serta petugas trafik NPE dan Besraya akan menjalankan rondaan dan pemantauan di kawasan terlibat bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terkawal," katanya.

Beberapa laluan yang akan ditutup termasuk pintu gerbang Sunway, Persiaran Taman Medan, Kilometer 18.1 (susur Plaza Tol PSJ 2) dan Kilometer 18.4 (susur Dato Harun) arah Subang.

Selain itu, susur Tampler, susur Kampung Pasir, dan Persiaran Kuchai arah Bangsar turut ditutup.

Acara larian yang memasuki tahun ke-6 ini akan melibatkan lebih daripada 10,000 peserta dan menyaksikan penggabungan jajaran dua lebuh raya utama, iaitu Lebuhraya NPE dan Besraya.

Kategori maraton penuh yang dipertandingkan adalah sejauh 42.195 kilometer (km), manakala kategori lain termasuk separuh maraton sejauh 21 km.

Trainee