FOTO: BERNAMA
GEORGE TOWN, 15 Januari - Sempena perayaan Thaipusam Selasa ini, beberapa laluan utama di bandaraya George Town akan ditutup secara berperingkat antara pukul 6 pagi hingga 7 malam mulai Isnin hingga Rabu ini.
Ia melibatkan Jalan Gotlieb, Jalan Burma, Jalan Brown, Jalan Tunku Abdul Rahman, Lorong Air Terjun, Jalan D.S Ramanathan, Jalan Utama, Lebuhraya Rose, dan Jalan Wright.
Ketua Polis daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Polis (ACP) Soffian Santong berkata, perarakan untuk Pedati Emas akan bermula pukul 6 pagi Isnin ini, manakala Pedati Perak pukul 7 pagi.
Perarakan akan bermula dari Kuil Lebuh Queen ke Kuil Air Terjun melalui 12 laluan utama.
Katanya, hanya 100 penganut yang telah diberikan pas khas dibenarkan mengiringi perarakan pedati mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi membendung penularan wabak COVID-19.
"Oleh kerana pada tahun ini kerajaan mengumumkan bahawa tidak adanya gerai-gerai jualan ini, pergerakan pedati ini akan lebih cepat berbanding tahun-tahun sudah.
"Kalau kita lihat seperti sebelum ini pergerakan pedati 3 tahun tu mengambil masa sehingga 20 jam daripada lokasi mereka bermula sehingga ke kuil air terjun."
Namun pada kali ini setelah kita berbincang dengan pihak kuil dijangkakan pergerakan pedati daripada Lebuh Queen dan Lebuh Penang ini sekurang-kurangnya hanya akan mengambil lebih kurang 8 hingga ke9 jam." Kata Soffian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Timur Laut, Jalan Patani, Pulau Pinang.
Seramai 1,300 pegawai dan anggota polis bertugas sempena sambutan Thaipusam di Pulau Pinang bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang upacara berlangsung.