fb fb fb fb fb

Penurunan kadar kesuburan fokus utama pembangunan Negeri Sembilan

Foto FB DOSM Negeri Sembilan

NILAI, 24 Julai - Kerajaan Negeri Sembilan terus komited mewujudkan persekitaran kondusif dasar inklusif dan sokongan yang menyeluruh bagi merealisasikan impian golongan muda untuk membina keluarga, sekali gus menangani trend penurunan kadar kesuburan di negeri itu.

Exco Wanita Keluarga dan Masyrakat Negeri Sembilan, Datuk Noorzunita Begum ketika berucap menyatakan, meskipun negeri itu kini mempunyai jumlah penduduk produktif yang tinggi seramai 823,200 orang yang berumur antara 15 hingga 64 tahun, namun penurunan kadar kesuburan perlu diberi perhatian kerana berpotensi menjejaskan kelestarian sektor industri dan perkhidmatan pada masa hadapan.

"Dalam menghadapi cabaran semasa, kita perlu menggalakkan dasar mesra keluarga bagi menstabilkan kadar kesuburan. Pelaburan dalam pendidikan, latihan kemahiran serta program mempelajari kemahiran baharu (reskilling) dan meningkatkan kemahiran sedia ada (upskilling) juga penting untuk belia dan dewasa.

"Negeri Sembilan, di bawah kepimpinan Menteri Besar, telah melaksanakan banyak inisiatif seperti Rumah Mampu Milik dan Rumah Harapan untuk memastikan anak negeri tidak perlu berhijrah mencari kerja di luar. Usaha menarik kembali bakat luar juga sedang giat dijalankan," katanya ketika berucap pada Program Seminar Kependudukan Negeri Sembilan 2025 bersempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Negeri di Auditorium Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini. 

Dalam pada itu, data unjuran semasa menunjukkan tren penurunan bagi Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) di negeri itu berada pada anggaran 1.8 anak bagi setiap wanita, di bawah paras penggantian 2.1.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN