fb fb fb fb fb

Penunggang motosikal 'ghost rider', buat laporan polis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Video tular motosikal tanpa penunggang yang tular di media sosial semalam, dipercayai berlaku disebabkan satu kejadian kemalangan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner (ACP) Shahrulnizam Ja'afar dalam satu kenyataan mengesahkan, siasatan awal mendapati terdapat kemalangan melibatkan dua buah motosikal di lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam.

"Insiden itu menyebabkan mangsa (penunggang) motosikal berkenaan terjatuh dari motosikal yang ditunggang sebelum ia bergerak masuk ke laluan utama di lokasi kemalangan dan terakam oleh rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan yang melalui laluan tersebut.

"Video berkenaan dimuat naik oleh pemilik akaun @Syazwan Zanini menerusi aplikasi X," katanya menerusi kenyataan itu.

Bagaimanapun Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menghubungi pemilik akaun media sosial dan melalui rakaman kamera papan pemuka, penunggang berkenaan telah dikesan.

Penunggang terbabit yang cedera di tangan dan di belakang badan akan hadir membuat laporan polis hari ini.

Dalam pada itu, polis mengingatkan kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.

Pihak polis juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu secara berbahaya.

Tindakan tegas akan diambil.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI