KUALA LUMPUR, 5 Mei- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengharapkan penulis tanah air lebih agresif dan tidak hanya berkarya melalui medium konvensional.
Beliau berkata perjuangan bahasa, sastera, seni dan budaya selama 54 tahun penubuhan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) perlu menerokai ruang baharu terutama menerusi platform alam maya.
Agar penulis dan sasterawan tempatan terus kekal berdaya saing dan relevan dalam bidang persuratan.
"Saya menyarankan agar pentas baharu daripada menggunakan media konvensional kepada media baru. Ertinya ianya harus menggunakan media sosial dan yang sama dengannya untuk menghasilkan karya-karya budaya sastera dan seni.
"Saya mencadangkan agar ada kesinambungan dari segi latihan dan pendedahan kepada generasi baru untuk memberikan kesinambungan kepada hasil hasil sasterawan negara yang dahulu dan yang sekarang," katanya kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Kompleks Rumah Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Majllis Aidilfitri Penulis Bersama Timbalan Perdana Menteri di Rumah GAPENA, ibu negara.
Dalam pada itu Ahmad Zahid turut memberi jaminan permohonan GAPENA untuk mendapatkan hak milik kekal tanah Rumah GAPENA yang menjadi pusat kegiatan penulis tanah air dan perkara itu akan dibawa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim .
"Mereka memohon kerana tanah ini adalah tanah kerajaan persekutuan dan dahulunya merupakan kuarters kerajaan yang di disewakan kepada GAPENA.
"Jadi mereka memohon agar hak milik kekal diberikan kepada gapena dan insha allah saya akan bawa perkara ini kepada Perdana Menteri," katanya.
Pada masa sama, beliau juga turut menyatakan akan terus memberikan komitmen untuk bersama-sama kepemimpinan GAPENA dalam usaha merealisasikan harapan karyawan tanah air sejak badan penulisan itu ditubuhkan lima dekad lalu.