fb fb fb fb fb

Pensyarah IPTA rugi RM1.3 juta

JOHOR BAHRU, 8 Januari- Seorang pensyarah sebuah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Johor rugi kira-kira RM1.3 juta kerana diperdaya sindiket penipuan panggilan telefon di Iskandar Puteri, pada Oktober 2022 hingga bulan ini.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, wanita berusia 41 tahun itu menerima panggilan telefon daripada suspek yang menyamar sebagai petugas kesihatan dan mendakwa mangsa terlibat pemalsuan laporan COVID-19 di Sabah.

Mangsa menafikan dakwaan tersebut, namun panggilannya telah disambung kepada suspek lain yang menyamar sebagai Pegawai Polis Sabah, menyatakan mangsa terlibat sindiket penggubahan wang haram dan dadah.

"Modus operandi dia adalah menelefon mangsa dan mengatakan bahawa ada isu berkatan dengan vaksin. Maka dia pun terpengaruh berkenaan panggilan itu.

"Panggilan tersebut telah disambung kepada polis, seterusnya kepada pihak kastam dan sebagainya. Selain itu, dia turut membuka akaun bank baharu dan telah membuat pinjaman dengan beberapa bank," katanya kepada pemberita Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor, di sini.

Atas arahan suspek, mangsa telah memindahkan RM1.3 juta ke akaun bank tersebut antara 17 Oktober hingga 25 November, sementara kes disiasat.

Bagaimanapun, mangsa sedar ditipu awal Januari lalu, selepas mendapati kesemua wang daripada akaun tersebut telah dipindahkan ke beberapa akaun tidak dikenali.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

(Kamarul Zaman Mamat)

Media Baharu