fb fb fb fb fb

Penolakan draf MoU peruntukan, kerajaan tunggu jawapan PN

Foto FB Fadillah Yusof

PUSA, 15 September- Kerajaan Perpaduan menunggu jawapan rasmi daripada Perikatan Nasional (PN) mengenai penolakan mereka terhadap dua draf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) yang diajukan oleh kerajaan berkait peruntukan untuk Ahli Parlimen PN.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berharap pembangkang akan memberikan cadangan balas terhadap draf MoU yang telah dihantar secara bertulis.

"Sebagai sebuah negara yang berdemokrasi kita terimalah pandangan daripada pihak pembangkang.. cuma daripada segi harapan saya kalau seperti mana yang diperkatakan tadi itu adalah draf.

"Jadi bila draf, saya mengharapkan mereka mengatakan apa tak dipersetujui, apa cadangan balas dan itulah yang dikatakan rundingan.. tapi apa pun saya menghormati pandangan mereka. Saya menunggu secara hitam putih daripada mereka secara keseluruhan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penangguhan Regata Tandang Sari 2024 di sini.

Fadillah berkata beliau hanya memperoleh maklumat tentang penolakan itu melalui laporan media yang menjelaskan bahawa segala perundingan perlu dibuat secara formal.

Sementara menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, keputusan sebulat suara menolak MoU tersebut dibuat atas empat sebab asas antaranya didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Hamzah berkata draf berkenaan turut mengandungi perkara yang dilihat menyekat kebebasan bersuara Ahli Parlimen.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM